fbpx

Pelajar rayu bantuan ramai, duit habis RM4,000 kena ‘scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar hantaran yang dikongsikan mangsa di laman TikTok serta butiran laporan polis yang dibuat berhubung kejadian tersebut.

PETALING JAYA – Lambakan aplikasi pelaburan yang menjanjikan keuntungan dan pulangan wang berlipat kali ganda membuatkan ramai dalam kalangan masyarakat ditipu sehingga mendatangkan kerugian besar.

Menerusi perkongsian seorang mangsa yang juga merupakan pelajar di sebuah universiti awam, dia mendakwa telah mengalami kerugian sebanyak RM4,000 dalam sekelip mata selepas melabur wang tersebut kepada seorang individu menerusi skim pelaburan yang disertainya di laman Telegram.

“Saya mengambil pakej pelaburan RM1,000 yang menjanjikan pulangan sebanyak RM10,000.

“Individu tersebut meminta sebanyak RM3,000 lagi sebagai komisyennya membantu menguruskan urusan pelaburan tersebut,” katanya.

Selain itu, pelajar tersebut juga telah meminjam sebanyak RM2,000 daripada tiga orang kawannya serta menghabiskan keseluruhan duit perbelanjaannya di universiti untuk membuat pelaburan tersebut.

Dia kemudiannya membuat laporan polis selepas mengesyaki dirinya telah ditipu.

“Selepas saya memindahkan wang sebanyak RM4,000 ke akaun individu berkenaan, dia meminta saya membayar RM10,000 dengan alasan untuk mengaktifkan akaun pelaburan saya, tapi saya tak bayar kerana tidak mempunyai wang sebanyak itu.

“Saya mula curiga dengan tindakannya dan kemudian segera membuat laporan polis apabila terasa diri saya ditipu,” jelasnya menerusi laporan yang dibuat.

Sehubungan itu, mengakui kecuaian dirinya, dia kini merayu bantuan orang ramai di media sosial kerana mula terdesak kerana kini mempunyai RM50 sahaja untuk kegunaan sepanjang tempoh pengajian.

“Assalamualaikum, saya merendah diri untuk meminta jasa baik semua orang yang boleh menolong saya.

“Saya ditipu sebanyak RM4,000 atas kecuaian saya sendiri dan saya seorang pelajar di sebuah universiti awam tahun pertama.

“Kini saya hanya tinggal RM50 untuk sepanjang semester. Saya betul-betul perlukan bantuan, saya nak kerja tapi jadual saya sangat padat,” luahnya menerusi hantaran di TikTok.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna menasihatkan golongan pelajar untuk tidak mudah percaya dengan mana-mana aplikasi atau pihak luar yang menawarkan skim pelaburan untuk cepat kaya.

“Tolong lah wahai adik-adik yang masih belajar, jangan terdesak nak duit banyak untuk hidup cara mewah, lepas itu sanggup pinjam sana sini untuk skim pelaburan yang akhirnya membebankan diri sendiri,” kongsi Syaza Aira.

“Adik, ramai juga pelajar yang sanggup buat kerja sambilan untuk ada duit tambahan, jangan beri alasan jadual padat, nak seribu daya, tak nak seribu dalih, usaha untuk selesaikan masalah yang dibuat sendiri, jangan susahkan orang lain pula,” ujar Md. Lolaalaa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI