IPOH – Seorang lelaki warga emas berusia 89 tahun yang pengsan ketika membaiki bumbung rumah di Kampung Ampang Baru di sini, diselamatkan pasukan bomba hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Mohd. Azman Husin berkata, pihaknya menerima panggilan untuk menyelamatkan mangsa pada pukul 3.10 petang.
Katanya, sebuah jentera dengan 10 anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) segera dihantar ke lokasi kejadian.
“Setibanya anggota di sana, didapati lelaki warga emas itu tidak sedarkan diri di atas bumbung rumahnya. Kejadian berlaku ketika mangsa sedang membaiki kebocoran bumbung.
“Anggota menggunakan tangga jentera dan ‘stretcher’ untuk menurunkan mangsa sebelum dia diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut. Mangsa kemungkinan pitam akibat kepenatan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE