fbpx

Rosmah tidak yakin hakim bertindak adil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah ketika tiba di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor memaklumkan bahawa pembabitan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan dalam empat kes berbeza membabitkan beliau dan ahli keluarganya menyebabkan Rosmah tidak yakin bahawa hakim itu boleh memberikan keputusan yang adil dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram dan cukai yang dihadapinya.

Peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dalam hujahannya menyatakan, anak guamnya perlu diberikan perbicaraan yang adil oleh seseorang yang boleh membuat keputusan secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau keputusan yang pernah dibuat dalam kes terdahulu.

“Pada ketika ini, Yang Arif telah membuat keputusan dalam beberapa kes membabitkan Rosmah, ahli keluarganya dan beberapa orang saksi yang telah memberi keterangan dalam kes rasuah Rosmah. Ini sudah pasti mempengaruhi pemikiran Yang Arif bahawa Rosmah mempunyai keperibadian yang teruk.

“Terdapat kemungkinan yang serius bahawa pemikiran Yang Arif mungkin dipengaruhi atau mungkin berlakunya berat sebelah yang akan menyebbakan Yang Arif membuat kesimpulan awal,” kata peguam itu.

Pada 12 Januari lalu, Rosmah memfailkan permohonan kali kedua untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini.

Terdahulu pada 14 Disember tahun lalu mahkamah sama menolak permohonan serupa atas alasan antaranya kepentingan Rosmah tidak akan diprejudiskan walaupun beliau merupakan hakim yang sama mendengar perbicaraan kes rasuah wanita itu.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam hujahannya berkata, Mohamed Zaini sudah membuat keputusan berhubung perkara itu ketika menolak permohonan sama pada 14 Disember tahun lalu selepas mendengar hujahan terperinci kedua-dua belah pihak.

“Kami mohon Yang Arif  tidak menarik diri  daripada mendengar kes ini kerana Yang Arif tidak pernah mendengar sebarang keterangan berhubung kes pengubahan wang haram yang dihadapi tertuduh. Oleh itu kami menyatakan permohonan kali kedua supaya Yang Arif menarik diri daripada mendengar kes ini (pengubahan wang haram) ditolak oleh mahkamah ini,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak mahkamah menetapkan 21 Mac ini untuk keputusan bagi permohonan itu.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 hingga 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lima pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti mana yang diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI