SERDANG – Sejak dibuka lima hari lalu, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Zon Wilayah Tengah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini sudah menerima 119 pesakit Covid-19.
Timbalan Komander, Pusat Kawalan Bersepadu (UCC), Dr. Ridzuan Mohd. Isa berkata, setakat hari ini, 90 pesakit berusia 13 hingga 50 tahun ditempatkan di pusat itu membabitkan pesakit kategori 1, 2A dan 2B sahaja.
Beliau berkata, pesakit wanita mendahului jumlah pesakit di pusat itu dengan 53 orang selain 37 orang pesakit lelaki.
“Kesemua pesakit yang diterima di pusat ini adalah daripada Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor yang dirujuk dari Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sekitar Lembah Klang.
“Kebanyakan pesakit yang dimasukkan ke sini adalah dalam kalangan pesakit kronik dan individu yang tiada tempat sesuai untuk kuarantin.
“Kami juga menetapkan tempoh kuarantin di pusat ini diselaraskan selama tujuh hari sahaja berbanding tiga tempoh berbeza sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ditanya sama ada pusat itu akan dibuka kepada pesakit dari negeri lain kelak, Ridzuan berkata, pihaknya bersedia jika diarahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). – KOSMO! ONLINE.