fbpx

NGO edar lebih 1,500 naskah al-Quran ke masjid, surau terjejas banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosli Basri (tiga dari kanan) bersama wakil NGO dan penyumbang melihat antara al-Quran yang disumbangkan di Masjid Bukit Piatu di Bentong hari ini.

BENTONG – Menyedari keperluan al-Quran yang diperlukan di masjid, surau, sekolah serta pusat tahfiz yang terjejas banjir mendorong gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Johor tampil menyalurkan sumbangan kitab suci itu di negeri ini.

Penyelaras program, Maslinda Marsiad berkata, sehingga kini kira-kira 1,500 naskah al-Quran telah diserahkan kepada premis-premis di kenalpasti secara berperingkat di seluruh negeri.

“Sebelum ini pihak NGO memang sering menghantar pelbagai bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dan juga orang memerlukan cuma bagi sumbangan al-Quran ini adalah kali pertama dilakukan.

“Pada hari ini sebanyak 600 naskah al-Quran diserahkan kepada Masjid Bukit Piatu untuk masjid berkenaan serta diagihkan kepada surau dan sekolah berhampiran dan selepas ini kita akan ke Raub pula bagi mengedarkan lagi naskah al-Quran,”katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir sama Pengerusi Pelaburan Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Koputra), Zaharudin Alias dan Penasihat Undang-undang Muhibul Quran Malaysia, Datuk Azani Mohamad dan Pengerusi Masjid Bukit Piatu, Rosli Basri.

Menurut Maslinda selain dibeli oleh NGO terbabit al-Quran berkenaan turut diterima daripada orang ramai dan juga pelbagai syarikat dan agensi seperti Koputra.

Dalam pada itu, Zaharudin berkata, penglibatan koperasi berkenaan dalam program ini adalah atas jemputan daripada Muhibul al-Quran bagi sama-sama menggantikan al-Quran yang rosak akibat banjir untuk manfaat umat Islam.

Katanya, pemberian al-Quran berkenaan juga amat signifikan dengan kedatangan Ramadan dan diharap kitab suci itu dimanfaatkan oleh semua kariah di masjid terlibat.

Sementara itu Rosli berkata, sumbangan itu amat bertepatan dengan keperluan kariah masjid berkenaan selepas banyak naskah al-Quran rosak akibat bencana banjir.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menyumbang dan al-Quran ini akan digunakan di masjid ini serta diedarkan kepada surau dan sekolah yang terjejas banjir di sini,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI