KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd. Nafuzi Zain mengakui bingung memikirkan status penjaga gol No.1 pasukan selepas Rahadiazli Rahalim kembali cergas selepas lebih setahun tidak beraksi ekoran kecederaan panjang.
Sebelum ini, Rahadiazli yang dianggap sebagai salah seorang penjaga gol berpotensi negara telah mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada awal tahun lalu sekali gus menyaksikan benteng terakhir pasukan menjadi milik Suhaimi Hussin.
Kata Nafuzi, Rahadiazli semakin menunjukkan peningkatan selepas mengharungi beberapa aksi persahabatan pramusim tetapi segalanya masih belum diputuskan menjelang aksi pembuka tirai Liga Super minggu ini.
“Saya lihat dia memang sudah pulih seratus peratus dan semakin menunjukkan peningkatan positif setakat ini.
“Tetapi disebabkan sudah hampir setahun tidak bermain secara kompetitif, barisan kejurulatihan tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan sekali gus mengambil risiko yang sepatutnya kita boleh elakkan.
“Secara jujur, saya tetap berhasrat untuk memberikan dia peluang tetapi kita kena tengok situasi dari semasa ke semasa.
“Tambahan pula kita juga memiliki Suhaimi dan Sharmiza Yusoff yang pasti memberikan tentangan sengit pada sesi latihan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya dalam satu kenyataan.
Skuad Sang Penyu yang menduduki tangga keempat Liga Super musim lepas akan membuka tirai menentang seteru ‘Pantai Timur’ iaitu Sri Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan Sabtu ini.