HULU TERENGGANU – Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pemberian bantuan sehingga RM10,000 kepada semua ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua mangsa yang terjejas akan menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 seperti dinikmati lebih 45,000 KIR mangsa banjir sebelum ini.
“Apa yang kita sudah beri dahulu pada gelombang pertama (banjir) akan diterima mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.
“(Ia termasuk) bantuan wang ihsan, pembelian barangan untuk membaiki rumah, baucar barangan elektrik dan membaiki kenderaan seperti yang saya umum umum sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, beliau menyantuni seramai 272 mangsa daripada 76 keluarga yang menghuni Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Batu 23 di sini hari ini.
Kesemua 76 KIR terlibat menerima BWI sebanyak RM1,000 yang disampaikan Ismail Sabri.
Kosmo! 1 Januari lalu melaporkan antara bantuan yang diperuntukkan kerajaan kepada KIR mangsa banjir adalah baucar tunai RM500 bagi pembelian barangan elektrik untuk menggantikan barangan elektrik yang rosak akibat banjir.
Selain itu, bantuan tunai sehingga RM5,000 turut diberikan kepada setiap keluarga untuk kerja-kerja membaiki rumah yang mengalami kerosakan. – KOSMO! ONLINE