fbpx

Majikan boleh tempah slot kuarantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saravanan

PUTRAJAYA – Majikan boleh membuat tempahan slot kuarantin bagi kemasukan pekerja warga asing setelah mereka lulus pemeriksaan kesihatan dan dikeluarkan Visa Dengan Rujukan (VDR).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, tempahan bagi slot tersebut boleh dibuat menerusi platform Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) di www.fwcms.com.my.

Menurutnya, kemasukan pekerja warga asing ke negara dijangka bermula pada bulan ini.

“Ketika ini, lokasi pusat kuarantin adalah terhad dan berada di sekitar Lembah Klang merangkumi hotel-hotel seperti terdapat dalam senarai pusat kuarantin swasta yang telah diluluskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara.

“Anggaran bagi kos kuarantin adalah antara RM2,000 dan RM3,000 merangkumi penyediaan penginapan, makan dan minum (tiga kali sehari), pengangkutan ke pusat kuarantin serta ujian saringan Covid-19 semasa dalam tempoh kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, permohonan bagi penggajian pekerja warga asing telah dibuka secara dalam talian mulai 15 Februari lalu dan sehingga semalam, sejumlah 171,133 permohonan telah diterima.

Ujarnya lagi, ia melibatkan sektor perkilangan (118,967), perkhidmatan (21,040), perladangan (15,787), pembinaan (12,252) serta pertanian (3,087). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI