KUALA LUMPUR – Lanjutan tempoh pengambilan dos penggalak kepada penerima Sinovac berusia 18 tahun ke atas dan warga emas 60 tahun ke atas sehingga 31 Mac ini tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebaliknya lanjutan itu adalah bertujuan memberikan masa kepada dua golongan itu untuk melengkapkan suntikan dos penggalak mereka.
“Ada juga banyak permintaan dari golongan ini supaya dilanjutkan tempoh untuk mereka mengambil dos penggalak, ini adalah lanjutan terakhir, telah muktamad, jika 31 Mac mereka masih tidak ambil dos penggalak, status vaksin mereka adalah tidak lengkap,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang ingin tahu apakah alasan lanjutan tempoh mengambil dos penggalak bagi dua golongan itu sehingga 31 Mac ada kena mengena dengan PRN Johor pada 12 Mac ini.
Sementara itu Khairy berkata langkah membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara jumpa terus dan memberi pilihan vaksin dos penggalak, bertujuan membantu meningkatkan jumlah penerima dos penggalak dalam negara. – KOSMO! ONLINE