KYIV, Ukraine – Dua petinju profesional Ukraine, Wladimir Klitschko dan Oleksandr Usyk mengambil keputusan untuk menyertai pasukan ketenteraan bagi mempertahankan kedaulatan negara mereka yang sedang ditakluk Rusia ketika ini.
Klitschko yang juga bekas juara kategori heavyweight dunia mengakui keputusan itu dibuat atas dasar cintakan negaranya dan situasi sama turut dilakukan oleh abang kandungnya, Vitali yang juga Datuk Bandar Kyiv.
“Saya adalah rakyat Ukraine dan sudah tentu saya rela menumpahkan darah di bumi tercinta ini. Saya percaya kekuatan sebenar negara kami adalah keinginan untuk bebas dan sudah tentu saya memilih jalan untuk mempertahankan negara.
“Ukraine tidak pernah dibom sejak 1941 dan apa yang berlaku sekarang cukup dahsyat kerana letupan berlangsung setiap hari dan ia sangat menggerunkan rakyat yang tidak bersalah,” kata Klitschko yang berusia 46 tahun.
Sementara itu, Usyk yang dijadualkan bertemu dengan jaguh tinju Britain, Anthony Joshua turut memberi tumpuan penuh untuk menyertai kem ketenteraan selain menyeru agar Rusia menghentikan serangan.
“Saya mahu katakan kepada Rusia agar tidak meneruskan hasrat untuk menjajah Ukraine. Berbincanglah dengan pemimpin kami dan jangan biarkan keluarga kami terus merana serta menyorok di dalam rumah,” kata juara dunia kategori heavyweight itu. – AGENSI