fbpx

Kerajaan kaji masalah bekalan air jadi masin, payau di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Ibrahim (kiri) meninjau kerosakan pintu TCG di Gong Kulim, Pasir Puteh hari ini. FOTO: TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Kajian mengenai kawalan kemasukan air masin melalui pintu kawalan air pasang surut (TCG) di Gong Kulim di sini yang sudah rosak dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kajian itu dilihat mampu menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Kelantan sekali gus dapat mengelakkan masalah bekalan air menjadi masin dan payau.

Menurutnya, selain itu, kajian tersebut juga dijalankan untuk menentukan sama ada loji rawatan air dapat dibina di kawasan itu atau sebaliknya.

“Masalah utama yang dihadapi ketika ini adalah kemasukan air masin terutamanya ketika air pasang besar ke dalam TCG sekali gus menyebabkan sumber air menjadi payau.

“Satu kajian telah dijalankan kementerian untuk meneliti kaedah untuk mengawal air masin yang masuk ke dalam takungan. Sekiranya sesuai dan berfungsi dengan baik, lokasi berdekatan boleh jadikannya tapak Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS),” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau kerosakan pintu TCG di Kampung Gong Kulim di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak, Rohani Jusoh.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim memberitahu, TCG di bawah IADA Kemasin Semerak itu merupakan antara kawasan yang mempunyai takungan air sangat besar yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan rakyat dan industri.

Ujarnya, sekiranya TAPS dapat dilaksanakan, pembinaan loji rawatan air yang mampu membekalkan sebanyak 30 juta liter padu sehari dapat dibina untuk pengguna di Pasir Puteh, Bachok, Pelabuhan Tok Bali dan sekitarnya yang kini menggunakan bekalan air bersih dari Terengganu.

Menurutnya, pihak kementerian sedia bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam memastikan permohonan IADA untuk menaik taraf TGC di Gong Kulim, Kampung Lembah dan di Kemasin, Bachok mendapat kelulusan kerajaan.

Katanya, pembangunan pengairan penting untuk industri makanan menerusi pelbagai aktiviti pertanian termasuk tanaman padi selain mengawal banjir setiap tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI