PERSEORANGAN lelaki negara yang sedang meningkat naik, Ng Tze Yong meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 30 teratas ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjelang akhir tahun ini.
Keyakinan itu dilaungkan pemain berusia 22 tahun tersebut selepas membantu pasukan badminton lelaki Malaysia menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam bulan lalu.
Bagaimanapun, Tze Yong yang memenangi tiga kejohanan dalam saingan musim lalu menegaskan, masih jauh untuk dia berada sebaris dengan perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia.
Justeru, dia yang berada di ranking ke-46 dunia berharap untuk terus mengejar kedudukan pemain profesional itu dengan menampilkan aksi terbaik dalam setiap kejohanan tahun ini.
“Saya rasa semua orang tahu tahun ini saya meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 30 teratas dunia. Sudah tentu saya harap boleh capai sasaran yang diletakkan.
“Berhubung saya dan Zii Jia, saya rasa standard dengan dia masih ada jarak, lebih-lebih lagi dia berada dalam kelompok 10 teratas dunia. Oleh itu, saya perlu kerja keras untuk kejar,” kata Tze Yong.
Pada masa sama, dia juga menganggap kemenangan pada BATC sebelum ini turut menjadi suntikan semangat buat pemain-pemain negara bagi menampilkan aksi lebih baik menjelang saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand Mei depan.
“Memandangkan kita bermula baik tahun ini dengan memenangi BATC, saya fikir ia beri lebih keyakinan apabila beraksi di Piala Thomas nanti. Saya percaya, kita boleh beri tentangan di sana,” ujarnya.
Saingan Piala Thomas nanti dijangka menjanjikan aksi lebih sukar buat Malaysia memandangkan negara-negara lain akan mempertaruhkan skuad terkuat, berbeza jika dibandingkan dengan BATC.