SHAH ALAM – Sekolah Islam Hatimurni (Hatimurni) optimis untuk menambah jumlah murid sehingga 20,000 orang bagi pengajaran Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) secara online tahun ini.
Pengasasnya, Siti Khadijah Mohni berkata, sasaran itu mampu dicapai susulan sambutan baik ibu bapa terhadap kaedah yang dipraktikkan sekolah Islam swasta sejak dua tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Tijarah Hatimurni Sdn. Bhd. pemilik Hatimurni berkata, pihaknya memanfaatkan peluang memfokuskan pengajaran secara online selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020.
“Ibu bapa sudah membuka minda untuk menerima kaedah online terutama yang bekerja dari rumah dan mahu menguruskan anak mereka pada waktu sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Anugerah Pencapaian Pelajar Cemerlang Hatimurni 2021 yang disempurnakan majlis perasmian oleh Pengarah syarikat, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali di sini baru-baru ini.
Siti Khadijah menjelaskan, pihaknya mengakui usaha mempraktikkan kelas itu bukannya mudah terutama menarik minat dan fokus murid berusia tujuh hingga 12 tahun.
“Namun, berbekalkan pengalaman Hatimurni yang beroperasi sejak 2007, kami berjaya menggalas cabaran itu dan sudah mempunyai lebih 5,000 murid setakat ini.
“Selain menggunakan silibus yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kami memiliki 12 tenaga guru yang mempunyai tauliah dari seluruh negara,” ujarnya.
Tambah beliau, selain penyertaan 20,000 murid, pihaknya menyasarkan pembukaan tiga cawangan sekolah baharu di Selangor tahun ini.