PUTRAJAYA – Harga runcit petrol RON97 mencatatkan kenaikan 16 sen seliter iaitu daripada RM3.29 kepada RM3.45 seliter berkuat kuasa esok sehingga 9 Mac depan.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, harga runcit petrol RON95 dan diesel pula kekal masing-masing pada paras RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.
Katanya, pengekalan harga petrol RON95 dan diesel itu diputuskan kerajaan bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global.
“Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE