LONDON – Persekutuan Automobil Ukraine (FAU) menuntut Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) ‘mengharamkan’ kesemua lesen pelumba Rusia dan Belarus yang bersaing di bawah kejohanan naungan mereka termasuk pemandu Formula Satu (F1) Haas, Nikita Mazepin.
Serangan ketenteraan yang dilancarkan Rusia ke wilayah Ukraine sejak Khamis lalu telah mengundang reaksi pelbagai badan sukan utama dunia dan bertindak membatalkan semua acara yang berlangsung di Rusia.
Antara permintaan FAU kepada FIA ialah melarang untuk mengadakan sebarang perlumbaan di Rusia selain mengeluarkan negara itu dan sekutunya, Belarus menjadi ahli FIA serta mendesak bendera dan simbol kedua negara itu disingkirkan.
Pada minggu lalu, F1 mengumumkan tidak meneruskan perlumbaan di Grand Prix (GP) Rusia yang sepatutnya berlangsung pada September ini ekoran tindakan Rusia yang memulakan peperangan ke atas Ukraine sebagai tanda protes dan solidariti menuntut keamanan.
Keputusan tersebut menyebabkan nasib pelumba Rusia, Mazepin bersaing bersama pasukan Haas kini terancam selepas dia beraksi di bawah lesen Rusia dan kemungkinan besar tempatnya terpaksa digantikan.
Pada ketika ini, Haas juga dikatakan telah membatalkan kehadiran penaja utama dari Rusia iaitu Uralkali yang dimiliki oleh ayah Mazepin, Dmitry selain mereka juga berkemungkinan memanggil Pietro Fittipaldi sebagai pengganti sekiranya sudah tidak ada jalan lain lagi.
Pada Sabtu lalu, perlumbaan Piala Touring Car Dunia (WTCR) yang sepatutnya berlangsung di Litar Sochi turut dibatalkan, selain FIM turut membatalkan siri Kejuaraan Dunia Motocross di Rusia. – AGENSI