KLANG – Cubaan membawa masuk 24 tan daging kerbau sejuk beku dari India yang tidak mempamerkan logo halal gagal selepas dikesan pihak berkuasa dalam kejadian di Pelabuhan Barat di sini, baru-baru ini.
Rampasan daging bernilai RM323,000 itu dilakukan kira-kira 3.25 petang pada Sabtu lalu hasil rutin pemeriksaan dijalankan pegawai penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
Menurut Maqis Selangor, berdasarkan siasatan awal mendapati kesemua daging itu yang berada dalam sebuah kontena itu telah berada di pelabuhan berkenaan sejak 25 Januari lalu.
Katanya, daging-daging berkenaan diimport oleh sebuah syarikat pengimport dan pengedaran produk makanan yang beroperasi di negeri ini.
Difahamkan syarikat tersebut telah beroperasi sejak 26 tahun lalu.
“Hasil pemeriksan mendapati pengimport itu gagal mempamerkan logo halal di dalam kotak dagangan yang dikehendaki seperti yang dinyatakan di dalam syarat permit import yang diluluskan.
“Kesemua daging kerbau sejuk beku yang dianggarkan sebanyak 1,120 karton dengan nilai RM323,000 untuk pasaran tempatan itu ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Maqis Selangor, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang memperuntukkan penjara sehingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali. -KOSMO! ONLINE