PETALING JAYA – Susulan isu perbalahan antara pelakon Mona Allen yang didakwa telah dicekik dengan sengaja oleh rakan pelakonnya, Iqram Dinzly, penyanyi rap terkenal Caprice percaya insiden ‘pertengkaran’ antara kedua-dua pelakon itu sekadar gimik semata-mata.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, penyanyi yang mahu dikenali sebagai Daddycap itu memberi pandangan selepas menerima banyak permintaan daripada netizen yang memintanya untuk mengulas tentang kejadian tersebut.
“Ramai yang mesej saya secara peribadi dalam Instagram (DM) bercakap tentang ini (Mona Alleh dicekik Iqram).
“Pada pandangan saya, kemungkinan pihak produksi sengaja cipta babak tersebut (pergaduhan) semata-mata untuk viral dan mempromosikan drama tersebut.
“Sama seperti kisah antara Datuk Seri Vida dengan Iqbal. Sebab semua orang akan bercakap tentangnya dan berdebat. Jadi pada pandangan saya video ini adalah palsu,” ujarnya.
Dalam ruangan komen, rata-rata pengikut Daddycap bersetuju bahawa pergaduhan antara Mona dengan Iqram adalah lakonan semata-mata untuk tujuan gimik mempromosikan drama lakonan mereka.
“Palsu. Kedua-dua mereka (Mona dan Iqram) sudah profesional dalam lakonan drama Melayu,” komen seorang pengikutnya.
“Nampak sangat ‘drama’. Lakonan dalam lakonan. Cara pemasaran zaman sekarang,” ujar seorang lagi netizen.
“Ahli-ahli filem nak buat video nampak sebenar, tapi ‘kantoi’ palsu,” komen seorang lagi pengikutnya.
Semalam, kecoh apabila pelakon Mona Allen mendakwa, bukan hanya sekali dua, malah berkali-kali dia dicekik dengan sengaja oleh rakan pelakonnya, Iqram Dinzly ketika menjalani penggambaran drama Hati Yang Dikhianati.
Mona atau nama sebenarnya, Munna Hafiraneza Allen, 36, mendedahkan perkara itu menerusi rantaian hantaran dalam InstaStory semalam.
Ujar Mona, dia berang kerana Iqram bertindak keterlaluan dengan mencekiknya sepertim betul-betul beberapa kali sehingga menyebabkan kesakitan.
Susulan kekecohan tersebut, difahamkan suami Mona iaitu Pekin Ibrahim ada bertemu empat mata dengan Iqram bagi meredakan kekeruhan.
“Mens talk (perbincangan antara lelaki dengan lelaki,”, tulis Pekin yang juga seorang pengarah menerusi InstaStorynya. – KOSMO! ONLINE