PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan bagi tempoh seminggu bermula esok hingga 9 Mac bagi negeri-negeri Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ramalan cuaca pada sebelah pagi dijangka hujan di satu dua tempat di pantai timur Semenanjung dan timur Sabah.
“Manakala pada sebelah petang hingga awal malam, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di barat Semenanjung, utara & pedalaman Sarawak serta barat dan timur Sabah.
“MetMalaysia juga telah mengemaskini amaran angin kencang dan laut bergelora bagi kategori pertama dan kedua untuk kawasan perkapalan di perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga hari ini,” katanya.
Jelas Muhammad Helmi, orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE