fbpx

Citrawarna martabatkan seni, budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSERT Sape melibatkan seramai 257 pemain alat muzik tersebut daripada pelbagai kaum telah berjaya mencatat rekod baharu dalam MBoR.

Oleh AHMAD AMMAR HAREEZ

KUCHING – Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung selama empat hari bermula 24 Februari lalu telah mencapai objektifnya untuk mempromosikan keunikan, kepelbagaian budaya dan perpaduan negeri Sarawak kepada masyarakat luar.

Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Sarawak di Tebingan Kuching di sini padat dengan pelbagai aktiviti menarik.

Acara kemuncaknya adalah majlis perasmian program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob.

Ia turut dihadiri oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Majlis tersebut diserikan juga dengan persembahan kebudayaan artis-artis tanah air dan tempatan seperti Bob Yusof, Datuk Jamal Abdillah dan banyak lagi.

Program Citrawarna Keluarga Malaysia padat dengan pelbagai pengisian sesi seperti Malam Gala, Festival Kraf Sarawak, Konsert Sape dan Festival Gendang Sarawak.

ISMAIL SABRI (tiga dari kiri) bersama barisan pemimpin hadir pada majlis perasmian Citrawarna di Tebingan Kuching, Kuching.

Turut diadakan Seminar Kolokium (Sidang Keilmuan) dan Bicara Komuniti Sarawak, Pameran Gastronomi Sarawak, Demonstrasi Food Fusion Negeri-Negeri, pameran, jualan, demonstrasi dan interaktif jabatan/agensi MOTAC.

Selain itu, ia turut melibatkan persembahan kebudayaan di Pentas Terapung yang bertempat di Padang Merdeka dan Jalan Main Bazaar.

Peragaan Busana Kraf Tekstil Malaysia, Perarakan Perahu Tambang Berhias dan Persembahan Bunga Api dan Muzikal Water Fountain juga telah mendapat sambutan baik daripada para pengunjung.

Abang Johari dalam ucapannya bersempena majlis perasmian program berkenaan telah menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memilih Sarawak sebagai tuan rumah majlis julung-julung kali itu selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

Menurut beliau, pemilihan bandar raya Kuching yang mempunyai kekuatan tersendiri sebagai tuan rumah adalah bertepatan kerana negeri tersebut sinonim dengan Burung Kenyalang dan mempunyai 27 etnik besar dengan pelbagai bahasa, kebudayaan dan cara kehidupan untuk diketengahkan kepada seluruh Keluarga Malaysia.

“Lebih menarik, Sarawak dengan sendirinya bersifat Citrawarna dari segi budaya, bahasa dan dialek, bangsa dan keturunan, kepelbagaian makanan dan juga flora dan fauna,” katanya.

Selain itu, dalam sidang akhbar yang diadakan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri menerangkan, pihaknya berpuas hati dengan sambutan yang diterima daripada masyarakat kerana sasaran awal pengunjung seramai 50,000 orang telah berjaya dicapai.

“Secara kasar kita lihat, jumlah pengunjung yang hadir lebih daripada jumlah yang disasarkan dan mereka terdiri daripada masyarakat tempatan dan luar,” ujarnya.

Selain itu, program Citrawarna itu telah berjaya meningkatkan pendapatan seramai 52 usahawan yang menyertainya.

Menurut Nancy, usahawan tersebut telah berjaya mencatat nilai jualan sebanyak RM162,000 sejak hari pertama program.

“Keyakinan bahawa sasaran yang ditetapkan RM200,000 sebelum ini akan berjaya dicapai.

“Sambutan yang diberikan juga amat menggalakkan khususnya terhadap produk baharu yang dihasilkan termasuk alat untuk bermain sape, produk ini begitu laku sekali,” jelas beliau.

Selain itu, program yang ditunggu-tunggu oleh pengunjung pada malam penutup program Citrawarna adalah persembahan muzik sape ‘Rentak Kamek Urang’ yang melibatkan 257 pemain.

Lebih menarik, persembahan tersebut telah berjaya mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBoR).

Alat muzik tradisional masyarakat Orang Ulu itu juga dimainkan oleh pemain alat muzik dari seluruh Malaysia secara serentak selama lima minit dengan sebahagian peserta berada di pentas terapung Tebingan Sungai.

Konsert ini bertujuan memupuk nilai-nilai murni dan semangat kekeluargaan bersama badan bukan kerajaan seni budaya pelbagai kaum di Sarawak.

Persembahan tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI