PUTRAJAYA – Penggunaan air banjir bagi tujuan berwuduk adalah dibolehkan sekiranya tidak ditemui bekalan air bersih dan mutlak ketika itu.
Itu penjelasanm Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi portalnya, Maktabah Al-Bakri bagi menjawab hukum menggunakan air banjir untuk berwuduk.
Zulkifli berkata, menurut Syeikh Abdullah Abd al-Rahman Bafadhal, umat Islam diminta supaya mencari air mutlak untuk berwuduk, namun jika tidak ditemui, maka dibolehkan mengguna air banjir kerana ia adalah suci.
“Jelas Syeikh Abdullah lagi, tidak menjadi masalah perubahan air kerana tidak bergerak dalam waktu yang lama oleh kerana debu, lumut dan apa yang menetap dalam tempat menetapnya air dan tempat mengalirnya air,” katanya.
Dr. Muhammad al-Zuhaili juga menjelaskan bahawa sekiranya air berubah pada warna, bau, dan rasanya sama ada disebabkan oleh lamanya menetap, disebabkan debu tanah, lumut dan tanah serta susah untuk dipelihara darinya, maka ia kekal suci lagi menyucikan.
Zulkifli berkata, jika air tersebut digunakan untuk berwuduk, mandi dan menghilangkan najis maka ia tidak lagi berada dalam keadaan suci lagi menyucikan.
Namun, katanya, jika seseorang itu meyakini bahawa air banjirnya telah bercampur dengan najis, maka tidak boleh digunakan untuk berwuduk.
“Adapun jika ia hanya sangkaan ataupun keraguan, ia tidak menggugat kesucian air banjir untuk berwuduk. -KOSMO! ONLINE