PANDEMIK yang melanda dunia sejak tahun 2020 ternyata memberi impak besar terhadap semua sektor termasuk industri muzik tanah air.
Bagi menyemarakkan semula industri muzik tanah air yang sedikit malap ketika ini, acara berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 yang bakal berlangsung pada 6 Mac depan dengan memilih tema Inilah Rentak Kita.
Pengarah Eksekutif AJL36, Jamil Hassan berkata, pemilihan tema tersebut dibuat selepas melihat situasi industri muzik tempatan yang melalui fasa kesuraman akibat Covid-19 sejak dua tahun lalu.
“Memandangkan AJL boleh diklasifikan sebagai program yang berprestij, kita cuba bangkit semula dengan pelbagai rentak muzik yang pelbagai.
“Biarpun kes harian semakin meningkat sejak akhir-akhir ini, situasi tersebut tidak mematahkan semangat untuk pemuzik tanah air bangkit dan memperjuangkan karya sedia ada,” katanya.
Hasrat tersebut sekali gus membina harapan untuk melihat industri muzik tempatan kembali rancak dan meraih kembali semangat seperti sebelum ini.
“Rasa-rasanya, inilah masa terbaik untuk AJL mengangkat semula industri muzik agar kembali rancak seperti sebelum pandemik hadir dalam hidup kita semua. Sebab itulah kita jadikan Inilah Rentak Kita sebagai tema AJL36,” katanya lagi.
Sebagai mematuhi saranan kerajaan, kehadiran penonton pada AJL36 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (PWTC) akan dihadkan kepada seramai 200 orang sahaja.
Perkara tersebut dimakluman oleh Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh susulan peningkatan kes jangkitan harian Covid-19 semakin tinggi.
“Tahun lalu, tiada penonton langsung tetapi kali ini, kami terpaksa menganjurkan AJL dengan jumlah penonton yang sangat terhad.
“Untuk AJL36, kami hanya akan mengundang 200 tetamu khas dan mereka perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Kita memerlukan penonton di AJL kerana tanpa penonton, saya rasa kasihan dengan penyanyi yang membuat persembahan kerana tenaga dari penonton amat diperlukan bagi membantu mereka,” tuturnya.
Dalam pada itu, Khairul turut berpesan kepada semua yang terlibat agar menjaga kesihatan dan keselamatan diri supaya tidak terlepas peluang daripada membuat persembahan pada acara tersebut.
Pengurus Projek AJL36, Russell Mark Rodrigues pula berkata, semua tetamu yang bakal hadir diwajibkan menjalani ujian calitan Rapid Test Kit (RTK).
“Susulan peningkatan kes yang mendadak kami akan mengambil langkah berjaga-jaga. Penonton yang hadir wajib menjalani ujian calitan dan sesiapa yang mempunyai keputusan RTK yang disahkan oleh klinik saja boleh masuk ke dewan itu nanti,” kongsinya.
Ujar Russell, sekiranya kes Covid-19 terus mencatatkan peningkatan dan berada pada situasi membimbangkan kemungkinan penonton tidak akan dibenarkan hadir.
Ditanya mengenai SOP setiap persembahan, Russell berkata, hanya 20 orang saja dibenarkan berada di atas pentas untuk sesebuah persembahan.
“Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, hanya finalis saja yang akan berada di pentas, manakala hos akan berada di studio,” katanya.
“Jadi had untuk sesebuah persembahan di atas pentas yang bersaiz 60 X 40 itu hanya seramai 20 orang,” ujarnya lagi.
AJL36 bakal dihoskan oleh pelakon popular Nabila Huda dan penyanyi Aliff Satar.
Pentas AJL36 bakal menyaksikan pertarungan 12 buah karya tempatan, antaranya Mimpi dendangan Haqiem Rusli), Sepi (Aina Abdul), Nafas Cinta (Aina duet Khai Bahar), Boneka (Ernie Zakri), Purnama (Naim Daniel) dan Pelukan Angkasa (SOG X Shila Amzah).
Lagu-lagu lain termasuklah, Intan Payung (Bunga Isme dan Noraniza Idris), Salahku (Yonnyboi), AEWO (Shiha Zikir dan Noki), Lara (Hael Husaini, Naim dan Haqiem), Angkara (Siti Nordiana) dan Cinta (Marsha Milan).