JITRA – Seramai 903 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Kedah tidak dapat menduduki peperiksaan tersebut yang bermula hari ini setelah mereka diarahkan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rozaini Ahmad berkata, calon terlibat terdiri daripada mereka yang disahkan positif Covid-19 dan berstatus kontak rapat.
“Difahamkan kesemua mereka menjalani kuarantin di rumah dan dijangka akan mengambil peperiksaan ini pada April depan.
“Itu merupakan garis panduan yang perlu kita patuhi seperti ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pauh di sini hari ini.
Sementara itu, kata beliau, terdapat seramai 29,769 calon SPM 2021 di Kedah dengan 25,898 daripadanya merupakan calon dari sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK). – KOSMO! ONLINE