fbpx

39,250 calon SPM di Sabah mula duduki ujian bertulis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

TUARAN – Seramai 39,250 orang calon mula menduduki ujian bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 bermula hari ini hingga 29 Mac depan.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr. Mistirine Radin berkata, seramai 35,266 adalah calon di sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan.

“406 calon pula ialah melibatkan sekolah agensi kerajaan (MRSM) manakala 227 orang membabitkan sekolah menengah agama negeri.

“Menerusi jumlah keseluruhan sama, calon SPM di sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah seramai 1,215 orang dan calon persendirian merekodkan jumlah paling ramai iaitu 2,136 orang.

“Selain itu, seramai 167 orang pula melibatkan calon berkeperluan khas,” katanya ketika ditemui akhbar selepas meninjau hari pertama peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, di sini, hari ini.

Mistirine memaklumkan peperiksaan yang berlangsung di 315 pusat peperiksaan seluruh Sabah turut membabitkan seramai 4,650 orang petugas peperiksaan terdiri daripada penyelia kawasan, ketua pengawas, timbalan ketua pengawas, pengawas dan pengemas bilik.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan jumlah calon yang positif dan tidak hadir peperiksaan hanya boleh diketahui pada pukul 4 petang selepas senarai e-Kehadiran diterima daripada semua pusat peperiksaan.

Menurut Mistirine, semua calon peperiksaan dinasihatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

“Bagaimanapun, kita juga menyediakan bilik khas untuk pengasingan calon yang bergejala.

“Calon yang positif Covid-19 dan tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan boleh memohon untuk menduduki peperiksaan mengikut jadual kedua yang dijangka pada April namun tarikhnya belum ditentukan,” katanya.

Sementara itu, Mistirine berkata, pihaknya turut mengambil langkah-langkah proaktif di semua peringkat khususnya pejabat pendidikan daerah dan sekolah berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya keadaan hujan lebat dan berterusan dikhuatiri boleh membawa kepada bencana banjir dan tanah runtuh.

“Semua Pegawai Pendidikan Daerah telah diarah mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam Daerah masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI