Oleh DIANA SURYA ABD WAHAB
KUANTAN – Seramai 20,675 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Pahang bermula hari ini sehingga 29 Mac depan.
Pengarah Pendidikan Negeri, Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, kesemua calon berkenaan menduduki peperiksaan di 264 pusat peperiksaan seluruh negara dan tiada yang didapati positif Covid-19 setakat ini.
“Kita tetap membuat pemantauan berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti saringan ke atas calon-calon dari semasa ke semasa dan setakat ini (hari ini) kita tidak menerima sebarang laporan mengenai calon positif Covid-19 kerana peperiksaan baru sahaja bermula.
“Namun kita sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan begitu menitikberatkan pematuhan SOP dalam kalangan calon-calon,” katanya selepas melakukan lawatan di pusat peperiksaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar di sini hari ini.
Menurut Mohammad Rosli terdapat lima calon terpaksa menduduki peperiksaan di hospital kerana mengalami masalah kesihatan.
Dalam pada itu katanya daripada keseluruhan 20,675 calon, seramai 1,470 calon adalah dari sekolah Agama Negeri dan Rakyat dan 817 lagi adalah calon persendirian.
“Selain itu, terdapat kira-kira 100 calon pula dikenal pasti sebagai calon berkeperluan khas manakala seramai 214 adalah calon swasta. – KOSMO! ONLINE