GEORGE TOWN – Seramai 20,051 calon di negeri ini mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 di 150 pusat peperiksaan yang bermula hari ini.
Tinjauan Kosmo! di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul di sini mendapati, pelajar mula tiba seawal pukul 6.30 pagi dengan sebahagian daripada mereka dihantar oleh ibu bapa masing-masing.
Guru-guru dilihat turut membantu membuat pemantauan rapi pergerakan pelajar bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuklah mengambil bacaan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki pekarangan sekolah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, seramai 18,427 pelajar adalah calon di 122 buah sekolah kerajaan, manakala 369 orang adalah calon di tiga buah Maktab Rendah Sains Mara dan 158 calon di lapan Sekolah Agama Negeri.
Menurut beliau, setakat semalam, seramai 137 calon dilaporkan terjejas akibat Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin.
“Daripada jumlah itu, 98 calon didapati positif Covid-19 manakala 39 pelajar pula adalah kontak rapat.
“Kesemua mereka akan menduduki peperiksaan SPM fasa dua yang tarikhnya akan diumumkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita ketika meninjau calon SPM di SMK Bukit Jambul hari ini.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 15 buah hospital di lima daerah di negeri ini telah dijadikan pusat hospital sebagai persediaan kepada calon yang berdepan dengan isu kesihatan ketika SPM berlangsung.
“Jika terdapat calon mengalami masalah kesihatan mereka akan menduduki SPM di situ dan hari ini terdapat seorang calon menduduki peperiksaan di hospital,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE