KOTA BHARU – Seramai 141 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kiambang dekat Pasir Mas terpaksa menaiki trak tentera selepas laluan ke sekolah berkenaan ditenggelami banjir.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar Dan Kurikulum), Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan dua trak tentera bagi mengangkut semua calon di sekolah tersebut menggunakan trak tiga tan.
Menurutnya, bantuan untuk membawa calon ke pusat peperiksaan dengan kerjasama Markas Lapan Briged, Pengkalan Chepa itu akan berterusan sehingga air di kawasan terbabit surut.
“Laluan ke pusat peperiksaan di SMK Sri Kiambang telah ditenggelami banjir setinggi 0.3 meter dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
“Pihak kementerian telah bekerjasama dengan ATM untuk memastikan pelajar yang berpakaian sekolah dapat menduduki SPM dengan baik dan tidak menghadapi kesukaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan sempena hari pertama SPM 2021 di SMK Zainab 1 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Pkharuddin memberitahu, sebuah sekolah yang sepatutnya menjadi pusat peperiksaan SPM di Pasir Mas iaitu Sekolah Menengah Agama (Arab) Diniah ditutup pagi tadi selepas didapati kawasan sekolah dinaiki air.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan seramai 19 orang calon SPM di sekolah berkenaan terpaksa menanguhkan peperiksaan hari ini.
“Setakat ini, seramai 723 calon SPM di Kelantan tidak akan menduduki peperiksaan bermula hari ini dan esok.
“Kesemua calon yang terjejas banjir dan dikuarantin kerana dijangkiti Covid-19 akan menduduki sidang kedua yang dijadualkan bermula 4 April sehingga 28 April nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE