fbpx

14 Mac hujahan lanjut permohonan Rozman batal pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rozman (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 14 Mac ini bagi mendengar hujahan lanjut daripada pembelaan dan pendakwaan berhubung permohonan Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli membatalkan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah bagi sebuah projek empat tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak pada hari pertama pendengaran permohonan tersebut.

Dalam prosiding hari ini Rozman selaku pemohon diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, manakala pendakwaan selaku responden diwakili Mohd. Asri Abdul Rahman Sidik.

Bulan lalu, Rozman memfailkan permohonan membatalkan pertuduhan yang didakwa ke atasnya.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, antara alasan-alasan permohonan Rozman yang difailkan melalui Tetuan Law Practice Of Rafique itu ialah, pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dikenakan terhadap pemohon (Rozman) tidak berasas sama ada dari segi fakta mahupun perundangan.

Pertuduhan yang dikenakan terhadap pemohon  dilakukan dengan niat jahat merupakan suatu bentuk penindasan kepada pemohon dan terjumlah kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 14 Oktober tahun lalu, Rozman, 58, yang juga Ketua Whip WARISAN mengaku tidak bersalah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Pada 16 Disember tahun lalu, hakim Rozina telah menetapkan lima hari bermula 9 Mei 2022 untuk perbicaraan kes itu dengan pendakwaan akan memanggil 42 saksi.

Mengikut pertuduhan, Rozman didakwa sebagai seorang Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Suapan itu ialah kontrak pekerjaan sebagai Operator Damaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694) dan  boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan  penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI