KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi fokus dalam memberi wajah baharu selain mewujudkan landskap terkini kepada organisasi awam dalam usaha menambahbaik penyampaian sistem kerajaan kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembaharuan itu bertujuan untuk menjadikan sistem penyampaian kerajaan bersifat ‘people-centric’ dan memudahcara urusan rakyat serta tidak lagi dibebani dengan karenah birokrasi.
“Sebagai contoh, antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan adalah meliputi kesegeraan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bantuan tunai, geran, pinjaman mudah dan sebagainya dengan mengurangkan karenah birokrasi.
“Kita dapat lihat, bagaimana bantuan wang ihsan (BWI) dapat disalurkan dalam tempoh paling cepat dalam sejarah bantuan banjir yang berlaku pada penghujung tahun 2021,” katanya di Dewan Rakyat di sini tadi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN- Pasir Salak) mengenai kelemahan di dalam sistem pelaksanaan dan penyampaian kerajaan dan apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengatasinya.
Katanya, langkah diambil kerajaan untuk memberi bantuan kepada rakyat dipacu oleh perkhidmatan awam yang cekap dan juga organisasi yang dinamik serta bersifat ‘facilitative’.
“Dalam hubungan ini, saya akan memastikan supaya organisasi awam akan lebih efisien dan efektif dengan mempunyai saiz, struktur dan fungsi yang bersesuaian serta tiada pertindanan fungsi.
“Kita akan meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa bagi memastikan ia sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa serta mendatang,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE