PORT DICKSON – Tentera Darat Malaysia akan terus memberikan fokus untuk meningkatkan kebajikan kesemua warganya selari dengan tema sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke-89 pada tahun ini iaitu ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’.
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, tema berkenaan dipilih kerana aspek kesejahteraan dan kebajikan warga tentera darat merupakan sumber moral kepada setiap anggota.
“Aspek kesejahteraan dan kebajikan seperti kemudahan rumah keluarga, pendidikan, kerohanian, kesihatan, pengiktirafan dan kelengkapan tempur persendirian dan kelengkapan tempur persendirian merupakan sumber moral dan semangat warga tentera darat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada negara.
“Ia sejajar dengan amanat saya dengan menggariskan enam fokus yang disampaikan pada minggu lalu untuk diberikan tumpuan pada tahun ini termasuklah kesejahteraan dan kebajikan warga tentera darat,” katanya dalam ucapan sempena majlis sambutan Hari Tentera Darat diadakan di Kem Segenting, di sini hari ini.
Lima fokus lagi adalah usaha meningkatkan kesiagaan dan keupayaan, penstrukturan dan penyusunan organisasi, pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan diplomasi pertahanan, dan membantu kerajaan dalam operasi ketenteraan selain perang.
Menurut beliau, keenam-enam fokus itu perlu diteliti, difahami, diperhalusi dan diambil tindakan oleh setiap peringkat pemerintahan berdasarkan peranan masing-masing.
“Saya yakin, jika semua dapat menyatukan usaha serta bersama-sama memberi tumpuan terhadap fokus yang telah ditetapkan pasti dapat mencapai hasrat sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Zamrose menjelaskan, terdapat beberapa cabaran dihadapi Tentera darat seperti ketidakstabilan persekitaran geo-politik dunia serta ancaman wabak penyakit berbahaya Covid-19 yang masih belum menampakkan hasilnya. – KOSMO! ONLINE