PETALING JAYA – Pandemik Covid-19 ternyata memberi tamparan hebat buat semua termasuklah perasaan takut dijangkiti virus tersebut turut menyelubungi jiwa setiap individu.
Merasai situasi sama, pelakon popular Elfira Loy mengakui tidak terlepas daripada perasaan takut dengan penularan jangkitan varian Omicron yang semakin mengganas ketika ini.
“Tak tahu nak rasa takut atau buat tidak endah sahaja. Setiap hari pasti ada kes positif.
“Jika dulu seorang demi seorang tetapi kini satu rumah terus dua atau tiga orang dijangkiti. Varian Omicron menular dengan sangat cepat,” katanya.
Tambah pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 28, itu, dia sebenarnya berasa takut tetapi enggan memperlihatkannya kepada umum.
“Saya sebenarnya takut tetapi tidak mahu menunjukkannya.
“Saya juga paranoid namun mengawalnya dan nampak seperti biasa sahaja,” katanya yang kini sedang sarat hamil anak kedua.
Pelakon drama Dear Cinta itu turut menyelar segelintir individu yang memandang ringan status kontak rapat dan tidak menjalani tempoh kuarantin yang sepatutnya.
“Lebih gemuruh apabila ada individu ambil ringan mengenai status kontak rapat atau positif tanpa gejala.
“Kalau anda kontak rapat dah mahu berseronok, lakukanlah dengan keluarga sendiri. Janganlah berjumpa dengan orang yang tak bersalah.
“Lagi satu, sebab mulai esok (hari ini) individu kontak rapat tidak perlu menjalani tempoh kuarantin lagi,” katanya lagi. –
Semalam, kes jangkitan harian merekodkan sebanyak 23,100 dan menunjukkan penurunan berbanding sebelum ini. – KOSMO! ONLINE