SEBERANG PERAI – Seorang remaja perempuan terbunuh, manakala empat yang lain cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki mereka terbabit kemalangan di Jalan Air Hitam, Tasek Gelugor di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun yang merupakan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Kejadian dikatakan berlaku apabila MPV itu yang dipandu seorang lelaki dari arah Guar Petai, Kepala Batas menghala Sungai Dua, Butterworth secara tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui satu selekoh.
Difahamkan, kenderaan berwarna kelabu itu kemudiannya terbabas ke kanan jalan dan melanggar sebatang pokok yang berada di tepi jalan di arah bertentangan.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas di sini bagi urusan bedah siasat, manakala empat individu yang cedera dikejarkan ke hospital sama bagi rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad mengesahkan kejadian itu. – KOSMO! ONLINE