JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan manifesto Iktiar BN Johor bertemakan ‘Kestabilan Masa Depan’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Pengerusi BN Johor merangkap Ketua Penyelaras PRN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohamad berkata, manifesto BN tersebut merangkumi lima teras utama.
Menurut beliau, teras pertama adalah Kemajuan Ekonomi dalam tempoh lima tahun untuk mengembalikan kehebatan ekonomi Johor yang pernah menjadi penyumbang tertinggi pelaburan Malaysia.
“Teras kedua merangkumi Kesejahteraan Rakyat manakala teras ketiga dan keempat adalah Orang Muda Johor (OMJ) dan Pentadbiran Berintetegriti.
“Teras kelima pula memupuk naratif dalam Reformasi Politik yang lebih matang,” katanya pada majlis Pelancaran Iktiar BN Johor di Bangunan Perhubungan UMNO negeri di sini.
Majlis pelancaran yang diadakan secara dalam talian itu turut dihadiri Pengarah PRN Johor, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Hasni berkata, BN Johor mempunyai maklamat dalam memakmurkan negeri Johor didukung oleh politik baharu yang matang dan stabil.
Jelasnya, iktiar dan inisiatif utama yang diumumkan merupakan satu tindakan yang realistik dan bukan sekadar hanya janji.-KOSMO! ONLINE