KIEV – Banduan Ukraine yang mempunyai pengalaman di medan perang akan dibebaskan dari penjara dan diberi peluang berbakti kepada tanah air dengan menyertai barisan hadapan untuk memerangi tentera Rusia, Daily Mail semalam.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dalam satu siaran langsung mengenai strategi pertahanan negara itu berdepan pencerobohan dari Rusia.
Beliau berkata, banduan akan dapat menebus semula kesalahan mereka dengan bertempur di lokasi panas peperangan.
“Di bawah undang-undang tentera, rakyat Ukraine yang mempunyai pengalaman pertempuran akan dibebaskan dari penjara dan diberi peluang menebus kesalahan mereka menerusi peperangan ini.
“Kami telah mengambil keputusan yang tidak mudah dari sudut moral tetapi berguna dari sudut pertahanan kerana kunci memenangi peperangan ini adalah menerusi pertahanan,” tegas Zelensky.
Pemimpin itu juga membuat rayuan supaya Kesatuan Eropah (EU) menerima penyertaan Kiev secara serta-merta bagi mendapat sokongan dalam menghadapi pencerobohan Rusia.
‘Kami merayu kepada EU untuk menyegerakan kemasukan Ukraine melalui prosedur khas baharu.
‘Matlamat kami adalah untuk bersama-sama dengan semua rakyat Eropah dan yang paling penting, berada di pihak sama. Saya pasti ia adalah satu permintaan yang adil dan boleh dilakukan,” katanya. – Agensi