HARI Raya Aidilfitri merupakan acara tahunan yang bukan sahaja memberikan kegembiraan kepada umat Islam malah ia turut memberikan ruang dan peluang buat pereka fesyen dari dalam dan luar negara untuk menghasilkan rekaan menarik untuk digayakan pada pagi perayaan itu.
Busana seperti baju Melayu dan baju kurung merupakan busana klasik yang cukup sinonim dengan sambutan perayaan Aidilfitri.
Pereka fesyen terkenal, Anuar Faizal tahun ini tampil dengan rekaan busana yang boleh disuai padankan dengan pakaian lain untuk gaya yang lebih santai.
Penggunaan rona selamat seperti hitam, putih dan kelabu juga memudahkan setiap set busana itu untuk digayakan bersama seluar jeans untuk gaya lebih ranggi.
“Baju raya selalunya akan dipakai sekali sahaja iaitu pada pagi raya.
“Oleh itu, bagi koleksi ini, saya mahukan sesuatu yang bersifat ‘mix and match‘ di mana pemakai boleh menggayakan mana-mana baju dalam koleksi ini untuk aktiviti santai lain,” katanya kepada Stailo.
Koleksi dipanggil Charm Voyage itu menampilkan 22 busana, bersempena dengan tahun 2022.
Jelas Anuar lagi, koleksi tersebut adalah bersifat mempesonakan dengan suntikan sedikit elemen sejarah dan quirky.
“Bagi koleksi ini, saya menampilkan busana pelbagai jenis yang terdiri daripada baju Melayu Johor, jubah untuk wanita dan juga baju kebaya.
“Saya banyak menghasilkan busana kebaya dengan padanan kain sarung yang boleh dipadankan dengan busana lain untuk gaya yang sedikit berbeza,” katanya.
Malah, Anuar mengakui bahawa busana kebaya adalah antara yang paling mencabar untuk dihasilkan.
“Pada saya, kebaya merupakan satu pakaian yang amat sesuai digayakan oleh wanita tanpa mengira bentuk tubuh mereka.
“Justeru, cabaran terbesar bagi koleksi kali ini adalah untuk mewujudkan koleksi kebaya yang tampil chic,” katanya.
Bagi pemilihan fabrik pula, Anuar berkata bahawa sebelum ini, dia mendapatkan fabrik daripada luar negara untuk setiap koleksinya.
Oleh kerana sekatan perjalanan akibat pandemik, Anuar mengakui turut berdepan cabaran untuk mendapatkan fabrik untuk koleksinya.
“Namun, saya berbangga kerana berjaya mendapatkan fabrik sesuai dan bermutu bagi koleksi ini dari dalam negara,” katanya yang memilih fabrik sifon dan juga kain kapas memandangkan kedua-dua jenis fabrik tersebut adalah bersifat lembut dan sesuai dengan cuaca di negara ini.
Koleksi Charm Voyage akan diperagakan pada Bazar Siberturahim Fashion Fest CIMB yang bermula pada 3 hingga 6 Mac depan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Ia bakal mempersembahkan siri pertunjukan fesyen bertemakan gaya sopan Islamik dengan penyertaan 16 pereka berbakat lain.
Jelas Anuar, sebagai seorang pereka fesyen, dia mengakui industri itu cukup terkesan akibat pandemik sejak dua tahun lalu dan teruja untuk mempamerkan koleksi Raya 2022 ini kepada orang ramai yang sudah pun mula membeli belah busana perayaan.
“Saya berharap agar orang ramai boleh datang ke bazar tersebut setelah sekian lama tiada bazar perayaan untuk bersama-sama melihat sendiri koleksi ini dan menyokong industri fesyen tempatan,” ujarnya.