KUALA LUMPUR – Hubungan baik Malaysia bersama wilayah Asia Tenggara dan Indo-Pasifik dilihat dapat membuka peluang kerjasama dalam tadbir urus lautan, keselamatan dan kesinambungan maritim.
Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, negara yang lebih kecil di Asia Tenggara, seperti Malaysia, boleh menggunakan kepakaran rakan kongsi Indo-Pasifik untuk mengemudi ancaman keselamatan bukan tradisional dan geopolitik kuasa besar yang lebih luas.
“Pada masa ini, pasukan pertahanan negara Malaysia dan Perancis bekerjasama dalam pendidikan dan latihan untuk pegawai awam dan tentera. Selain kapasiti membina, kita juga boleh melanjutkan kerjasama Malaysia-Perancis dalam teknologi pertahanan dan tadbir urus lautan.
“Begitu juga Jerman yang menerima pakai garis panduan dasar di rantau Indo-Pasifik pada 2020 bertujuan mengukuhkan kerjasama yang lebih erat dengan ASEAN untuk membentuk perintah berasaskan peraturan.
“Kesatuan Eropah juga membentangkan strategi Indo-Pasifiknya yang berjanji untuk secara aktif bekerjasama dengan negara Indo-Pasifik bagi menangani cabaran keselamatan serantau seperti menentang keganasan, keselamatan siber, keselamatan maritim dan pengurusan krisis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar ‘Multilateral and Inclusive Indo-Pacific Region: European Strategy and Opportunities for Malaysia and Southeast Asia’ anjuran Institut Maritim Malaysia (MIMA) di Hotel JW Marriott, di sini hari ini.
Turut hadir, Duta Besar Perancis, Roland Gakharague, Duta Besar Jerman, Dr. Peter Blomeyer, Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Michalis Rokas, Pengerusi MIMA, Datuk Mohamed Suffian Awang dan Ketua Pengarah MIMA, Datuk Dr. Sabirin Ja’afar.
Tambahnya lagi, Malaysia juga perlu mencari jalan meningkatkan kerjasama pada masa hadapan di kalangan pihak berkepentingan.
“Hubungan itu mesti menangani kebimbangan utama negara-negara Asia Tenggara, kemakmuran ekonomi serta keselamatan untuk menjamin kestabilan dan keamanan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE