fbpx

Tiada ‘tangan ghaib’ kawal pengadil Liga M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIVASUNDARAM menjelaskan bahawa FAM serius memperbaiki mutu pengadilan menjelang saingan Liga M musim ini.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menjangkakan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini ‘bebas’ daripada sebarang isu berbangkit melibatkan pengadil menjelang aksi pertama Liga Super dan Liga Premier yang bermula Jumaat ini.

Sebagai rekod, beberapa perlawanan Liga M musim lepas terpalit dengan kontroversi pengadilan yang tidak konsisten sehingga menyaksikan beberapa pengadil telah direhatkan serta digantung oleh badan induk itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, pihaknya sangat serius dalam memperbaiki mutu pengadilan menjelang saingan musim ini dengan melakukan pelbagai kursus buat pengadil tempatan.

“Kita telah melakukan kursus buat pengadil dan kalau boleh FAM tidak mahu ada isu berbangkit pada kempen musim ini. Pada masa sama, kita mahu pasukan yang bertanding turut membantu FAM terutama pegawai dan pemain bagi memastikan pengadil dapat menjalankan tugas sebaiknya.

“Jika benar pengadil buat salah, kita memang akan gantung dan FAM tidak pernah berkompromi mengenai situasi ini. ­Seperti tahun lepas, ada pengadil yang digantung tiga bulan, ada juga pengadil yang diturunkan ke liga bawahan dan keluar daripada liga profesional,” katanya yang juga Timbalan Presiden FAM semalam.

Sivasundaram turut menafikan dakwaan pengadil dikawal oleh ‘tangan ghaib’ sehingga keputusan berat sebelah berlaku pada beberapa perlawanan Liga M sebelum ini.

“Saya tidak setuju jika ada yang mendakwa ada orang luar campur tangan mengenai isu pengadilan. Ini kerana, kita ada markah atau petunjuk indeks prestasi (KPI) untuk pengadil serta guna peraturan yang dibuat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Sudah tentu semua ada pendapat masing-masing, namun harus diingat pengadil juga manusia biasa dan pasti akan buat salah tetapi kita bekerja keras untuk mengurangkan kesilapan tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI