LONDON – Penganalisis bola sepak England, Chris Sutton menganggap pemecatan Marcelo Bielsa oleh Leeds United merupakan satu kehilangan besar dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Bekas pemain Newcastle United itu mengakui bahawa gaya bola sepak yang dibawa oleh Bielsa sangat unik apabila meletakkan risiko pada tahap tertinggi, namun ia menjadikan perlawanan melibatkan Leeds seronok untuk disaksikan.
Menurutnya, biarpun terpaksa meninggalkan Elland Road, para peminat Leeds seharusnya tidak boleh melupakan jasa yang disumbangkan pengurus berkenaan apabila kembali membawa mereka ke saingan utama selepas sekian lama.
“Secara jujurnya, saya tidak tahu adakah langkah yang diambil oleh Leeds ini adalah tepat. Saya fikir sesiapa yang dilantik menggantikan Bielsa akan berdepan tekanan yang tinggi untuk memastikan mereka kekal.
“Anda hanya perlu lihat reaksi yang diberikan oleh para penyokong untuk mengetahui betapa bermaknanya Bielsa untuk mereka. Mereka sangat kecewa (pemecatan) kerana mereka terlalu menghargai Bielsa.
“Anda tidak boleh memecat seorang pengurus yang disayangi ramai dan pada masa sama prestasi pasukan tidak berubah. Pada saya ia bukan pilihan yang tepat dan ahli lembaga pengarah kelab akan dipersalahkan jika prestasi Leeds terus jatuh tanpa Bielsa,” katanya.
Sutton tidak menolak bahawa kedegilan Bielsa mengubah corak permainan pasukan turut menjadi punca kejatuhannya dan tambah memeritkan musim ini menyaksikan Leeds dihantui isu kecederaan pemain-pemain tonggak.
“Bielsa telah memberikan dimensi baharu dalam bola sepak di England. Sekarang, dia sudah tidak ada lagi dan Leeds perlu mula mencatat kemenangan atau mereka berdepan tekanan yang lebih tinggi,” jelasnya. – AGENSI