CYBERJAYA – Kutipan cukai bagi tahun 2021 mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus kepada lebih RM140 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi cemerlang itu merupakan kejayaan membanggakan kerana hasil kutipan cukai menyumbang kepada hampir separuh jumlah pendapatan negara.
“Kejayaan yang amat membanggakan ini merupakan usaha teransformasi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang merentasi 28 perkhidmatan percukaian secara dalam talian dan enam aplikasi digital di bawah pendekatan ‘Go Digital For Future Services’.
“Ketangkasan LHDN dalam mengadaptasi keperluan pendigitalan jelas sekali memudahkan urusan percukaian seperti digambarkan melalui Statistik Percukaian Hasil yang menunjukkan peningkatan trend pematuhan cukai dari tahun ke tahun,” katanya.
Beliau membacakan teks ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Perasmian Hari Hasil Ke-26 di Menara Hasil di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan 2, Yamani Hafez Musa, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd. Nizom Sairi, Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan (MOF), Che Nazli Jaapar dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.
Menurut Tengku Zafrul, pendekatan senegara merentasi semua pihak termasuk kerajaan, swasta dan rakyat diperlukan bagi memastikan pendapatan negara terus stabil selari dengan semangat dan konsep Keluarga Malaysia.
“Ini terutama melalui pembayaran cukai yang mana hasil yang dikutip akan digunakan bagi membangunkan negara sekali gus mensejahterakan Keluarga Malaysia dengan pelbagai program bermanfaat.
“Dengan sinar pemulihan yang lebih jelas tahun ini, kerajaan turut menjangkakan kutipan hasil akan kembali pada paras sebelum pandemik Covid-19 melanda.
“Saya percaya dan yakin bahawa Keluarga LHDN akan berjaya mengulangi pencapaian tahun 2021 serta memenuhi atau melebihi sasaran kutipan cukai RM139 bilion bagi tahun ini,” ujar beliau.
Tambah beliau, bagi menyokong hasrat itu, LHDN melalui pengurusannya, perlu merangka pelbagai strategi jangka pendek dan sederhana dan pada masa sama mengekalkan prestasi yang baik pada masa hadapan. -KOSMO! ONLINE