fbpx

Kanak-kanak dakwa mahu dibunuh ibu tiada unsur dera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan kanak-kanak tersebut meminta pertolongan orang awam selepas mendakwa mahu dibunuh ibunya.

PETALING JAYA – Polis mengesahkan tiada unsur-unsur penderaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki yang mana videonya tular selepas dia mendakwa mahu dibunuh ibu kandungnya dalam kejadian 25 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, tular satu rakaman video di media sosial kelmarin mengenai seorang kanak-kanak lelaki meminta bantuan orang ramai di sebuah medan selera di Kota Damansara, dekat sini mendakwa cuba dibunuh ibu kandungnya.

“Kejadian dilaporkan berlaku pada 25 Februari lalu, lebih kurang pukul 8 malam selepas pihak polis menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan berkenaan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun mendakwa telah dipukul oleh ibunya.

“Sebaik menerima laporan, pihak polis telah ke lokasi dan membawa kanak-kanak tersebut ke balai polis berdekatan untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan ke atas kanak-kanak itu (mangsa) mendapati telah berlaku perselisihan faham dengan ibu kandungnya kerana mangsa telah bergaduh dengan adik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pergaduhan tersebut menyebabkan mangsa telah dimarahi oleh ibunya lalu bertindak melarikan diri ke medan selera berkenaan.

“Bagaimanapun bapa mangsa telah tampil ke balai polis dan membuat satu laporan berkenaan kejadian yang berlaku.

“Hasil siasatan mendapati tiada unsur-unsur penderaan terhadap kanak-kanak tersebut, namun mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Tegas beliau, pihak polis akan menjalankan siasatan selanjutnya jika terdapat apa-apa perbuatan jenayah terhadap kanak-kanak tersebut dan meminta saksi awam yang melihat kejadian supaya tampil memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI