JERANTUT – Serangan angin ahmar yang dialami Akbar Nizam Hamzah, 45, setahun lalu mengubah kehidupannya sekelip mata dan dia kini hanya terlantar di rumah.
Susulan itu, isterinya, Fazziah Abdullah, 42, terpaksa mengambil alih tugas menyara keluarga dengan menjual kuih untuk menampung belanja termasuk persekolahan anak dan perubatan.
Fazziah berkata, serangan angin ahmar itu memberi kesan pada bahagian kiri badan suaminya.
“Suami juga menghidap darah tinggi, kencing manis dan asma. Dia hanya terbaring atas kerusi dan menjalani terapi di Hospital Bandar Pusat Jengka setiap bulan. Setakat ini masih belum ada perubahan.
“Sebelum ini, suami bekerja di Klang, Selangor dan pulang ke kampung untuk bekerja sendiri enam tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini semalam.
Menurut ibu empat anak berusia dua hingga 17 tahun itu, dia turut berdepan ujian apabila anak keempat, Mohd. Azriq Izzuddin, 2, yang juga sindrom Down menderita penyakit tiroid selain cacat pada kemaluan.
Ekoran itu, kanak-kanak tersebut perlu menjalani rawatan di hospital dan dijadual menjalani pembedahan bahagian kemaluan pada Disember ini.
Disebabkan kesusahan dan tekanan kewangan, Fazziah dan suaminya terpaksa memindahkan anak berusia 15 tahun dari sekolah menengah agama berasrama ke sekolah menengah di Felda bagi mengurangkan perbelanjaan.
“Pendapatan jualan kuih tidak cukup untuk menampung belanja kami sekeluarga lebih-lebih lagi terpaksa menyewa kereta dua kali sebulan ke hospital bagi tujuan rawatan suami dan anak,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Fazziah menerusi talian O11-12834047 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 06004-41-00009846-3 atas nama Akbar.