fbpx

Hukum penyunting tajuk berita palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Contoh suntingan berita palsu
NUZULSHAM SAMSUDDIN, WARTAWAN EKSEKUTIF

BARU-BARU ini, tular dalam laman sosial mengenai satu tajuk berita yang menggambarkan seolah-olah tiada bazar Ramadan dan sambutan Hari Raya Adilfitri pada tahun ini.

Ia kononnya kerajaan mengeluarkan kenyataan tiada sambutan hari raya sekiranya tidak menerima suntikan dos penggalak sedangkan tajuk asal ialah ‘Bazar Ramadan Boleh Beroperasi Sepenuhnya Tahun Ini.’

Difahamkan tajuk berita te­levisyen itu telah disunting gambarnya dan merujuk kepada sidang akhbar Perdana Menteri (PM) ketika menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Lou Sang Tahun Baharu Cina Keluarga Malaysia anjuran sebuah persatuan di Kuala Lumpur.

Tajuk berita palsu itu telah menyebabkan orang ramai kecewa dan tidak kurang juga ada memaki hamun dan melemparkan komen pedas dengan menghentam Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di media sosial.

Pejabat Perdana Menteri kemudian menafikan penyebaran tajuk berita yang telah disunting dan menurut sumber gambar itu sengaja disunting ketika PM berada di Brunei untuk lawatan rasmi.

Tinjauan mendapati berita tular itu sengaja diperbesarkan kumpulan tertentu yang bertujuan untuk mendatangkan kebimbangan dan mencetuskan huru-hara dalam kalangan masyarakat beragama Islam.

Bagaimanapun terdapat segelintir netizen yang bijak mengesan penyebaran berita palsu itu.

Melihat keadaan itu, sudah tentu berita palsu tersebut memberi kesan besar sekali gus mencalarkan imej pemimpin nombor satu negara selain menghuru-hara keadaan dan perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Menurut peguam Adi Zulkarnain Zulkafli, terdapat peruntukan undang-undang dan seksyen pendakwaan yang mana sekiranya individu yang menyebar atau menyunting berita palsu tersebut boleh ditangkap.

“Mana-mana individu yang menyebarkan fitnah boleh didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatang­kan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

“Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau ke­dua-duanya,” kata peguam itu.

Menurut beliau, selain Kanun Keseksaan, terdapat peruntukan undang-undang di bawah Sek­syen 233(1) Akta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Peguam Muhammad Amin Abdullah pula memberitahu, media sosial sepatutnya digunakan secara berhemah dan hukuman setimpal perlu dikenakan bagi mengekang perbuatan tersebut.

Bagi penulis, sudah tiba masanya dengan peruntukan yang ada, mereka yang menyun­ting berita palsu didakwa dan dikenakan hukuman keras sebagai pengajaran untuk semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI