TAIPING – Seramai 29 pelatih kursus asas 69 Komando Polis Diraja Malaysia berjaya menamatkan latihan setelah melalui pelbagai ujian sukar sejak lima bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, seramai 284 orang lulus tapisan awal sebelum hanya 117 orang yang layak mengikuti kursus tersebut.
“Daripada jumlah itu, hanya 103 orang iaitu empat pegawai dan 99 anggota melaporkan diri untuk hadir kursus asas ini.
“Bagaimana pun, hanya 29 orang yang berjaya menamatkan kursus dan layak dipakai beret pasukan 69 Komando,” ujarnya
semasa berucap pada Majlis Pentauliahan Beret dan Penutupan Kursus Asas 69 Komando siri 1/2021.
Kursus berkenaan diadakan di Markas Latihan Luar Cawangan Latihan Peperangan Khas 69 Komando di Trong di sini.
Menurutnya, pasukan 69 komando memiliki keupayaan melaksanakan penugasan keselamatan dan ketenteraman awam dengan lebih versatil.
“Pasukan 69 Komando merupakan sebuah unit yang mempunyai kualiti dan standard yang tersendiri.
“Memiliki daya tahan yang tinggi ketika melaksanakan operasi panjang dalam hutan serta memiliki kemahiran tempur yang tinggi,” ujarnya.
Beliau turut berpesan pada para pelatih yang berjaya menamatkan latihan asas tersebut agar dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang serta menjaga nama baik 69 Komando. – KOSMO! ONLINE