PETALING JAYA – Bapa pelakon Sheera Iskandar, Tengku Iskandar Putra menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun akibat sakit tua pukul 1 petang semalam.
Berita duka tersebut dikongsi Sheera atau nama sebenarnya, Tengku Shaheera Ilani, 37, menerusi hantaran dalam Instagramnya.
“Innalillahiwainnailaihirajiun. Ayahanda Sheera telah pulang ke rahmatullah sebentar tadi.
“Semoga roh ayahandaku mendapat rahmat dengan anugerah keampunan daripada Allah SWT serta dikurniakan tempat dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT,” tulisnya.
Sekitar awal bulan Februari lalu, Sheera pernah berkongsi mengenai tahap kesihatan bapanya yang menurun hingga dimasukkan ke hospital.
Bagaimanapun pada waktu tersebut, bintang KL Gangster 2 itu tidak mendedahkan penyakit yang dideritai insan kesayangannya.
Sheera adalah anak sulung allahyarham bersama bekas isterinya yang juga pelakon, Aznah Hamid.
Pasangan yang menjadi suami isteri selama lima tahun sebelum berpisah pada tahun 1986 itu turut dikurniakan dua lagi cahaya mata.
Sementara itu, ramai rakan selebriti dan pengikut laman Instagramnya menyampaikan ucapan takziah selain berharap Sheera terus tabah.
Antara teman seperjuangan yang meninggalkan ucapan adalah Datuk Aaron Aziz, Raja Ilya, Mustaqim Bahadon, Farahdhiya, Azhan Rani dan Mas Khan. – KOSMO! ONLINE