fbpx

Banjir ganggu emosi, tumpuan calon SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat calon SPM dari Sekolah Menengah Agama Pohon Buloh meredah banjir di jalan Kampung Senor yang dinaiki air setinggi 1.5 meter, semalam. -ZULHANIFA SIDEK

KEMAMAN – Ketika rakan mereka di negeri-negeri lain te­lah membuat persediaan ter­akhir bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula esok, nasib berbeza sebaliknya terpaksa dihadapi oleh calon-calon di Terengganu dan Kelantan yang ditimpa musibah banjir besar sejak kelmarin.

Berdasarkan data terkini, dianggarkan lebih 40,000 calon SPM di kedua-dua negeri itu akan menduduki peperiksaan ber­kenaan sehingga 29 Mac ini.

Bagaimanapun, hujan lebat selain cuaca tidak menentu yang berlaku sejak lima hari lalu menyebabkan beberapa daerah di Terengganu dan Kelantan dinaiki air sehingga memaksa lebih 10,000 penduduk dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).

NURUL ELYANA (kiri) dan Rabiatul (kanan) antara calon SPM dari SMK Air Putih Kemaman yang terjejas akibat bencana banjir selepas sekolah mereka ditenggelami air.

Di Terengganu, seramai 242 calon SPM di daerah Hulu Terengganu dan Kemaman terpaksa dipindahkan, sekali gus menjejaskan persediaan mereka untuk menghadapi peperiksaan berkenaan.

Antara yang terjejas termasuk­lah 82 calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih di sini apabila pusat peperiksaan di sekolah berkenaan ditenggelami banjir sejak semalam.

Mereka yang sebahagiannya menetap di asrama sekolah turut dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu di SMK Cheneh Baharu di sini.

Seorang calon SPM, Rabiatul Khairunnisa Faindi, 18, mengakui emosinya dan rakan-rakan yang lain sedikit terganggu apabila mereka terpaksa berpindah ke pusat peperiksaan baharu yang terletak kira-kira 23 kilometer (km) dari sekolah asal.

“Peperiksaan SPM hanya tinggal sehari dan kami pula terpaksa berpindah dan menumpang di SMK Cheneh Baharu.

“Tidak tahu sampai bila perlu berada di sekolah ini dan mungkin sehingga peperiksaan SPM tamat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Terdahulu mereka dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu itu dengan menaiki dua lori.

Sebahagian pelajar tingkatan lima SMK Air Putih yang terpaksa dipindahkan ke SMK Cheneh Baharu, Kemaman selepas sekolah mereka dinaiki air sejak semalam.

Seorang lagi calon SPM, Nurul Elyana Syafiqah Suhaimi, 18, berkata, tumpuanya sedikit terjejas akibat banjir.

“Saya baru pulih daripada Covid-19 dan bebas kuarantin pada minggu lalu. Pada asalnya, saya mahu mengisi masa yang ada beberapa hari ini untuk mengulang kaji pelajaran, namun tidak sangka pula banjir berlaku.

“Semua perancangan serba tidak menjadi dan sudah pasti kami merasai tekanan,” jelasnya.

Sementara itu, di Kelantan, seorang calon SPM, Mohd. Aizat Anuar, 18, mengakui masih belum bersedia untuk menduduki peperiksaan penting itu selepas rumah keluarganya di Kampung Telekong, Kuala Krai di sini dinaiki banjir petang kelmarin.

Mohd. Aizat yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keroh di sini berkata, kejadian banjir yang berlaku secara mengejut itu telah menganggu persiapan mereka untuk menduduki SPM esok.

Menurutnya, dia hanya sempat menyelamatkan dokumen peribadi selepas mereka diarah berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telekong.

“Saya rasa amat terkilan apabila tidak dapat pergi ke kelas tambahan terakhir yang dijalankan di sekolah.

“Saya sepatutnya menghadiri kelas tambahan beberapa mata pelajaran hari ini (semalam),” tambahnya.

Mohd. AIZAT yang kini ditempatkan di PPS SK Telekong, Kuala Krai sejak semalam berharap semangatnya tidak luntur untuk menduduki peperiksaan SPM yang bermula esok.

Mohd. Aizat bagaimanapun bersyukur apabila dia sempat menyimpan semua buku dan bahan bacaan yang digunakan sebagai persediaan SPM di tempat yang tinggi di rumah.

“Saya hanya berharap kea­daan kembali seperti biasa dan kami diberi kesempatan untuk mengulang kaji mana-mana mata pelajaran yang penting.

“Apa yang penting sekarang ini adalah keselamatan supaya kami dapat duduki peperiksaan SPM dengan tenang,” katanya.

Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok di sini, Nurie Sofia Majeli berkata, rumah keluarganya Kampung Tasek Bakong di sini dinaiki air sejak Jumaat lalu sehingga menyebabkan semua buku-buku nota mata pelajaran ditenggelami banjir.

“Buat masa ini, saya bergantung sepenuhnya kepada penggunaan telefon pintar untuk mengulang kaji pelajaran semasa berada di PPS.

“Tipulah saya tidak terkesan dengan apa yang berlaku (banjir). Tambahan pula, tinggal beberapa hari lagi untuk menempuh peperiksaan SPM.

“Apa yang berlaku ini bukan alasan untuk bersedih, sebaliknya saya perlu kembali fokus untuk menduduki SPM. Ini kerana, peperiksaan ini merupakan penentu masa depan saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di PPS Gudang Kastam di sini semalam.

NURIE SOFIA

Nurie Sofia memberitahu, kesemua nota-nota ulang kajinya ditenggelami banjir meskipun sudah diletakkan di tempat tinggi.

Katanya, keadaan paras air yang naik mendadak sehingga melebihi paras pinggang pada Jumaat lalu menyukarkan dia untuk kembali ke rumah dan mengambil buku-buku nota itu.

Tambahnya, bagaimanapun, dia tetap bersyukur dapat terus melakukan ulang kaji pelajaran di PPS sebagai persediaan terakhir meskipun mengakui kekurangan kelengkapan untuk belajar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI