fbpx

AS usir 12 kakitangan PBB Rusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana umum mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, semalam. - AFP

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York –  Washington  mengusir 12 kakitangan misi diplomatik PBB Rusia dari Amerika Syarikat (AS) kerana menjadi ‘operatif perisikan’ dalam tindakan yang mengundang kemarahan Moscow.

Seorang jurucakap misi AS ke PBB berkata, mereka yang diusir telah   ‘menyalahgunakan keistimewaan sebagai pemastautin’ dengan terlibat dalam aktiviti pengintipan yang menjejaskan keselamatan negaranya.

“Kami mengambil tindakan tersebut berdasarkan Perjanjian Ibu Pejabat PBB. Tindakan ini diusahakan sejak beberapa bulan lalu,” kata jurucakap berkenaan,  Olivia Dalton.

Timbalan Duta AS ke PBB, Richard Mills memberitahu mesyuarat Majlis Keselamatan mengenai situasi kemanusiaan di Ukraine bahawa semua 12 kakitangan itu terlibat dalam aktiviti bukan diplomatik.

“Mereka yang diminta meninggalkan AS  itu terlibat dalam aktiviti yang tidak sesuai dengan tanggungjawab dan kewajiban sebagai diplomat,” kata Mills tanpa mengulas lanjut.

“Ini adalah tindakan permusuhan terhadap negara kita,” balas Duta Rusia ke Washington, Anatoly Antonov  dalam satu kenyataan di Facebook sambil menambah, Moscow sangat kecewa’  dan ‘menolak sama sekali’ dakwaan Washington.

Duta Rusia ke PBB Vassily Nebenzia pula memaklumkan kepada pemberita tentang keputusan itu dengan cara yang janggal.

Semasa memberi sidang akhbar menjelang mesyuarat PBB, Nebenzia meminta diberi masa seminit untuk menjawab mesej telefon. Beliau kemudian mendedahkan bahawa baru saja dimaklumkan  tentang arahan pengusiran melibatkan 12 kakitangan misi diplomatik Rusia oleh AS.

Sumber diplomatik Rusia kemudian memberitahu agensi berita AFP bahawa pengusiran itu tidak melibatkan Nebenzia atau dua timbalan kanannya iaitu Dmitry Polyanskiy dan Anna Evstigneeva.

“Ini berita buruk,” kata Nebenzia, sambil menambah, semua kakitangan terbabit mempunyai masa sehingga 7 Mac untuk keluar dari AS.

Misi Rusia ke PBB mempunyai kira-kira 100 kakitangan, demikian menurut sumber diplomatik Rusia. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI