fbpx

28 lebuh raya mula laksana RFID

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 28 lebuh raya di seluruh negara telah melaksanakan penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) setakat ini selaras hasrat kerajaan memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti dikenali Multi Lane Free Flow (MLFF).

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, selain itu, dua lagi lebuh raya iaitu Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 dijangka melaksanakan RFID pada penghujung Jun depan.

“Pelaksanaan teknologi RFID adalah selaras dengan hasrat Kementerian untuk memperkenalkan sistem MLFF yang menggunakan pendekatan teknologi RFID dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2025.

“Dalam menerajui inisiatif memperkenalkan sistem secara elektronik sepenuhnya, pelbagai kajian, sesi libat urus dan dialog diadakan bersama pemegang taruh (stakeholders) bagi mendapatkan maklum balas serta penyelesaian terbaik berhubung kaedah akan digunapakai,” katanya di Dewan Rakyat tadi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang mahu mengetahui tentang pelaksanaan RFID setakat ini.

Sementara itu, katanya, kementerian turut meneliti untuk melaksanakan sistem tol tanpa palang seperti Electronic Road Pricing (ERP) yang diguna pakai di Singapura.

“Namun, atas kekangan kos dan pelaksanaan model perniagaan yang akan membebankan rakyat menyebabkan sistem itu tidak dilaksanakan di Malaysia dan teknologi RFID dipilih,” jelasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai kos pembelian RFID, Fadillah menjelaskan, harga jualan semasa peranti itu bernilai RM35.

“Kos itu merangkumi kos tag RFID, pemasangan tag, sistem dan pengoperasian. Walau bagaimanapun, pihak Kerajaan telah meminta supaya pihak TNG Sdn. Bhd. untuk mengkaji semula kos-kos berkenaan bagi tujuan mengurangkan harga jualan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI