fbpx

2 rakan didakwa rompak wanita Jepun, Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan rompak berkumpulan ke atas dua wanita warga asing masing-masing Perancis dan Jepun.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu Muhamad Nor Azizi Zainal Abidin, 25, dan Sharifuden Mohd. Idzaham, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat telah merompak berkumpulan ke atas Claire Barbara Marie Bolard, 47, yang merupakan warga Perancis dan Anna Yamauchi ,33, yang merupakan warga Jepun dengan merompak barangan berharga mereka antaranya telefon bimbit jenis Iphone, Samsung, kad ATM, pasport berserta sejumlah wang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing di tepi Jalan Tun Razak dan di hadapan sebuah kondominium di Jalan Medan Tuanku di sini pukul 10.30 pagi dan 11.15 pagi pada 20 dan 21 Januari lalu (2022).

Bagi kesalahan rompak berkumpulan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Muhamad Nor Azizi juga turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompak terhadap seorang wanita Gladys Mongcal yang merupakan warga Filipina di Jalan Ceylon di sini pukul 8.40 pagi pada 20 Januari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Sharifuden pula mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, memiliki harta rompak iaitu telefon bimbit jenis Oppo di sebuah  hotel di Kota Damansara pukul 9 pagi pada 29 Januari lalu mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum penjara dua tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Illya Syaheedah Mohd. Razif tidak menawarkan ikat jamin kepada kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira kesalahan yang dipertuduhkan adalah serius.

Bagaimanapun, peguam, Effa Ruzanna Anuar merayu agar kedua-dua anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah atas alasan kedua-dua tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Siti Aminah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dan menetapkan 30 Mac untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI