fbpx

Yang di-Pertuan Agong seru kekalkan kestabilan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Negara telah mengecapi kestabilan politik menerusi kerjasama dwi-partisan melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah ditandatangani antara kerajaan dengan pembangkang.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda amat bersyukur dengan kestabilan tersebut bagi menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat dan masa hadapan negara.

Justeru, Seri Paduka menyeru kepada semua wakil rakyat supaya terus mengekalkan persefahaman yang telah terbina dan memelihara kestabilan politik yang telah tercapai.

“Beta amat bersyukur dengan kestabilan politik yang dikecapi kini menerusi kerjasama dwi-partisan. Alhamdulillah, landskap politik negara kini lebih stabil.

“Hasil kesepakatan dan kematangan ini, pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 telah berjaya diluluskan melebihi dua pertiga Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember lalu.

“Sesungguhnya peristiwa tersebut bakal terpahat sebagai detik bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia.Kematangan politik seperti inilah yang didambakan oleh rakyat,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian semasa merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 16 hari sehingga 24 Mac, manakala Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak akan berlangsung selama sembilan hari bermula 21 Mac. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI