EMPOLI – Gergasi Itali, Juventus kembali menghidupkan peluang mereka memburu gelaran Scudetto musim ini apabila menang 3-2 ke atas Empoli pada aksi Serie A di Stadium Carlo Castellani awal pagi semalam.
Penyerang sensasi The Old Lady, Dusan Vlahovic meledak dua gol dalam aksi itu pada minit ke-45 dan 66, manakala satu lagi jaringan diperoleh menerusi Moise Kean dalam babak pertama.
Kemenangan itu menyaksikan Juventus yang kini berada di tempat keempat, cuma ketinggalan tujuh mata lagi di belakang pendahulu liga, AC Milan yang seri 1-1 dengan Udinese kelmarin.
Ia juga perlawanan ke-13 berturut-turut tanpa kalah buat Juventus dalam saingan Serie A sejak tewas 0-1 kepada Atalanta pada November tahun lalu.
Kehadiran Vlahovic yang dibeli dari Fiorentina hujung bulan lepas dilihat sebagai salah satu faktor utama kebangkitan prestasi Juventus selepas bintang Serbia itu kini sudah meledak tiga gol daripada empat aksi Serie A.
“Saya seorang tidak boleh membawa apa-apa perubahan tanpa bantuan rakan-rakan sepasukan. Jika kami kekalkan momentum semasa, kami mampu meraih keputusan positif di akhir musim nanti.
“Saya tidak biasa dengan tumpuan yang diberikan sekarang. Saya lebih berminat memberikan fokus kepada prestasi di atas padang untuk membalas kepercayaan daripada jurulatih,” kata Vlahovic.
Menariknya, Vlahovic kini mendahului senarai penjaring terbanyak Serie A musim ini dengan jumlah 20 gol, 17 bersama Fiorentina dan tiga Juventus, sekali gus mengatasi penyerang sensasi Lazio, Ciro Immobile. – AGENSI