PELAKON Syazuwan Hassan mendedahkan punya alasan tersendiri apabila mengelak daripada terlalu mengulas kisah perpisahannya dengan bekas kekasih yang hangat diperkatakan pada Mei tahun lalu.
Pada waktu tersebut, dia memilih membuat pertimbangan sewajarnya dengan berdiam diri kerana enggan mengaibkan sesiapa, apatah lagi melayan sebarang provokasi.
“Saya lebih selesa mengambil pendekatan untuk tidak membuka aib mana-mana pihak, terutama perkara membabitkan hal peribadi atau kisah lampau.
“Lebih baik saya berdiam diri daripada melayan hal sebegitu. Kita tak boleh halang apa orang nak cakap. Itu pilihan peribadi. Perkara sebenar biarlah saya dan keluarga saja yang tahu.
“Bagi saya cerita personal wajar tidak perlu dihebohkan. Kalau saya sendiri ada sesuatu yang mahu saya khabarkan suatu hari nanti, semua akan tahu.
“Seeloknya jangan ungkit isu lampau. Tiada manfaat. Kesabaran seseorang pun ada hadnya,” katanya ketika ditemui pada pratonton filem The Disappearance of Irdina Adhwa baru-baru ini.
Pada pertengahan tahun lalu, berlegar dakwaan kononnya hubungan aktor berusia 31 tahun itu dengan kekasihnya terlerai akibat kehadiran orang ketiga, juga seorang pelakon.
Kontroversi tersebut tercetus rentetan pendedahan bekas kekasihnya mengenai percintaan mereka yang terjalin selama 11 tahun terlerai menerusi perkongsian dalam media sosial.
Watak buruan
Enggan terus melayan perkara lama, pelakon drama Bidadari Salju itu mengakui kehidupannya kini lebih fokus terhadap kerjaya, lakonan dan pengacaraan.
Apatah lagi The Disappearance of Irdina Adhwa yang juga merupakan filem terbaharu lakonannya sudah mula disiarkan menerusi Astro First sejak 24 Februari lalu.
Selain Syazuwan, filem arahan sutradara asal Sabah, Kyle A Halim berkenaan turut membariskan Alicia Amin, Josiah Hogan, Bulan Terry, Nafiz Muaz, Melanie Tan, Nellisa Nizam, Hasmira Azmi dan Abbas Mahmoud.
Katanya, membawa karakter penuntut kolej yang tampak budiman, namun mempunyai sisi gelap merupakan watak yang ditunggu-tunggu.
“Boleh dikatakan filem ini menguji ketahanan mental dan fizikal semua pelakon kerana membabitkan banyak aksi lasak, mendebarkan dan sarat emosi.
“Kami juga ‘bermain’ dengan senjata pisau dan busur panah sebenar tetapi faktor keselamatan di set sangat terjaga selain melakukan latihan sebelum masuk penggambaran.
“Kerjasama dan keserasian semua yang menjayakan filem thriller ini membuatkan urusan di lokasi penggambaran lancar kerana masing-masing memberikan sepenuh jiwa.
“Hampir 90 peratus babak pula membabitkan penggambaran pada waktu malam, itu juga cabaran yang kami dapat tempuhi dengan baik sepanjang lebih dua minggu di lokasi.
The Disappearance of Irdina Adhwa berkisar percutian tujuh teman sekolej yang sepakat menginap di sebuah banglo selepas tamat peperiksaan.
Namun, percutian menyeronokkan yang diharap dapat melepaskan mereka daripada tekanan sebagai pelajar akhirnya mengundang tragedi berdarah.
Terdahulu, nama aktor tinggi lampai yang ‘masuk’ ke dunia hiburan sejak 2015 itu mula menyerlah selepas menyertai Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) dua tahun selepas itu.
Selain filem Pulang, Syazuwan turut membintangi banyak drama seperti Sean Dan Luna, Bidadari Salju, Ketupat Palas Mr Handsome, Dear Cinta Mr. Bibik, Cinta Fatamorgana, Jihad Ramadan dan banyak lagi.